Monday, June 4, 2018

JAGALAH ALLAH, MAKA ALLAH AKAN MENJAGAMU

| Jagalah Allah, Nescaya Allah Akan Menjaga Kamu |


"Ustaz, berikan saya sedikit nasihat" Pinta saya sambil menggenggam erat tangan Ustaz Pahrol.

"Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu. Perbaiki solat dan jaga kualitinya. Maka kehidupan kamu akan berkualiti seperti solat yang kamu lakukan" Jawab Ustaz Pahrol sambil melemparkan senyuman.

jagalah-Allah-maka-Allah-akan-menjagamu
Jagalah Allah maka Allah akan menjagamu


Itulah nasihat Ustaz Pahrol kepada saya beberapa bulan lalu ketika saya menjemputnya berkuliah zohor di surau pejabat kendalian saya.

Nasihat pendeknya yang berdasarkan hadith yang terkandung di dalam kitab hadith 40 karangan Imam An-Nawawi itu cukup padat dan seolah olah itulah nasihat yang terbaik bagi seorang yang sedang memperbaiki diri dan kehidupan seperti saya ini.

Hadith tersebut adalah seperti berikut ; Abdullah bin Abbas r.a meriwayatkan bahawa, Pada suatu hari ketika aku berada dibelakang Nabi, Baginda SAW bersabda : "Wahai anak kecil, akan aku ajarkan kepada engkau beberapa perkara. Peliharalah Allah nescaya Dia akan memelihara engkau. Peliharalah hak Allah nescaya engkau akan mendapati Dia bersama engkau." [HR At Tirmidhi]

Jika kita fahami hadith ini, yang dimaksudkan 'peliharalah Allah' adalah bermaksud kita melakukan kesemua hak hak Allah yang wajib iaitu beriman kepadaNya dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala larangaNya.

Maka dengan kerana itu pula 'Allah akan memelihara kita' yang dengan maksud Allah akan memberikan Rahmat (kasih sayangNya) kepada kita. Berdoalah meminta kepada Allah, maka Allah akan memakbulkan (mengikut kehendakNya) doa permintaan kita. Diberikan ketenangan jiwa, dikeluarkan daripada kesempitan hidup yang menghimpit, diberikan kesabaran dalam setiap ujian yang diberikan dan sentiasa terpelihara daripada perkara perkara yang kita khuatiri dalam kehidupan. Bahkan Allah sentiasa menolong kita ketika kita memerlukan pertolonganNya.

Memelihara hubungan sesama makhluk juga sebenarnya terkandung di dalam maksud 'peliharalah Allah'. Iaitu setiap kita ini wajib menjaga hubungan sesama manusia seperti tidak menyakiti, tidak menzalimi dan juga hormat menghormati mereka.

Begitu juga halnya kita dengan makhluk lain seperti binatang dan tumbuhan. Hak hak mereka seperti tidak disakiti dan tidak dizalimi juga wajib kita jaga. Ini kerana menjaga hubungan sesama makhluk juga merupakan tuntutan Allah kepada kita.

Adapun rangkap nasihatnya yang kedua iaitu 'Perbaiki solat dan jaga kualitinya, maka kehidupan kamu akan berkualiti seperti solat yang kamu lakukan' adalah merupakan nasihat pembentukan rohani dan jasmani yang terbaik bahkan ia mewujudkan jiwa ampuh untuk menjadi seorang yang benar benar beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Ya, solatlah penentu kehidupan kita samada ia membentuk sebuah kehidupan berkualiti atau sebaliknya.


solat-penentu-kehidupan
Solat itu tiang agama

Solat adalah medium perantara kita dengan Allah. Di medium inilah kita sebagai hamba berpeluang untuk 'mendekati' Allah SWT dengan cukup rapat. Bahkan di dalam hadith ada menyebutkan "Keadaan paling dekat seorang hamba dari rabbnya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyak doa (di dalamnya)." [HR. Muslim]

Lalu apabila solat yang kita perlihara dari sudut kualitinya seperti memperbaiki kefahaman ilmu tentang solat, dilakukan pada awal waktu dan berjemaah, diperbaiki sehingga menjumpai ikhlas dan khusyuknya, ini memberi maksud kita sedang memperbaiki hubungan dan interaksi kita dengan Allah.

Oleh kerana itulah, Allah akan memberikan keberkatanNya kepada kita dari sudut masa yang sentiasa kita guna pakai kepada perkara perkara yang bermanfaat. Rezeki yang sentiasa cukup bahkan mampu dimanfaatkan pula kepada perkara perkara yang lain yang diredhai oleh Allah dan kita pula mampu menjadi seorang mukmin yang berintegriti setiap masa. Insya Allah.

Mengakhiri bicara ringkas ini, begitulah sebenarnya maksud nasihat Ustaz Pahrol itu kepada saya. Kefahaman terhadap nasihat ini telah terbina, hanya mengaharapkan agar Allah memberikan taufiqNya kepada saya dan kalian sekiranya bermanfaat untuk kita sama sama praktikan nasihat ini. Wallahu'alam.

#AkhiAdifGorment
19 Ramadhan 1439H
4 June 2018

No comments:

Post a Comment